Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Ayat Ar-Ruqyah Asy-Syar-‘iyyah

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين حمدا كثيرا كما أمر. والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا ومولانا محمد المختار, وعلى آله وأصحابه الأخيار. أما بعد,

قال الله تعالى فى كتابه العزيز : وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ. صدق الله العظيم

وقال سيدنا مصطفى صلى الله عليه وسلم : مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً. صدق رسول الله صلى الله عليه وسلم

Atas permintaan sahabat saya maka saya coretkan sedikit info berkaitan ayat-ayat Al-Ruqyatul Syari-'iyyah. Bukanlah saya ini ahli/mahir dalam bidang ini, hanya sebagai memenuhi permintaan sahabat saya jua. Sekiranya terdapat salah dan silap harap saudara-saudari sudi-sudilah memperbetulkan ke jalan yang sebenar setelah diteliti dengan cermat.

Apakah itu Ar-Ruqyah Asy-Syar-'iyyah (الرقية الشرعية) , mungkin ada yang pernah mendengarnya dan mungkin ada yang tak pernah mendengarnya. Di sini saya akan menerangkan secara ringkas apakah itu Ayat Ruqyah, sedikit manfaat darinya dan cara-cara mengamalkannya.


1) Makna Al-Ruqyah Al-Syar-'iyyah :-

Al-Ruqyah الرقية itu bermaksud jampi daripada perkataan Raqa رقى

Al-Syar-'iyyah الشرعية itu bermaksud yang dibangsa kepada syarak daripada perkataan syara-'a شرع

Jadi, makna Al-Ruqyah Al-Syari-'iyyah الرقية الشرعية itu ialah jampi yang dibangsa kepada syarak.


2) Sumber Ayat-Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-'iyyah = Al-Quranul Karim


3) Penjelasan mengenai Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-'iyyah :

Bahawasanya ayat-ayat ruqyah ini banyak dan terdapat dalam bermacam-macam kaifiat(cara baca). Anda mungkin melihat kaifiat ayat ruqyah daripada Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki di dalam kitabnya Al-Aurad Al-Zainiyyah Al-Makkiyyah dan daripada Tuan Guru Dato' Dr Haron Din, pengasas Darus-Syifak di dalam kitabnya Ikhtiar Penyembuhan Penyakit Dengan Ayat-Ayat dan Doa Mustajab, berbeza dengan kaifiat Ayat Ruqyah yang saya nyatakan di sini. Sesetengah Ayat Ruqyah yang terdapat dalam kitab mereka mungkin tidak terdapat dalam risalah saya ini dan sesetengah Ayat Ruqyah yang terdapat di dalam risalah saya ini tidak terdapat di dalam kitab mereka.

Begitu juga penyusunan ayat dan cara bacaannya mungkin tidak selari. Ayat-Ayat Ruqyah yang saya naqalkan di sini mengikut kaedah yang digunakan oleh Ust Abd Malek,pengasas Pusat Perubatan Islam Darul Hikmah,Alor Setar, Kedah.

Jadi saya harap saudara-saudari tidak terkeliru jika terjumpa Ayat-Ayat Ruqyah yang berbeza ayatnyan, susunannya, dan cara bacaannya daripada yang saya nyatakan ini.


4) Faedah Mengamalkan Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-'iyyah :

Di sini saya naqalkan perkataan ulamak mengenai faedah mengamalkan Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-'iyyah ini. Telah berkata guru kami Al-Alim Al-Allamah As-Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki,

"Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-'iyyah ini di amalkan untuk keselamatan diri daripada gangguan makhluk-makhluk halus, dan sekiranya seseorang itu dirasuk syaitan, baca ayat ini kepada orang itu maka kita akan dapat berbicara dengan makhluk tersebut dan dapat mengusirnya keluar daripada tubuh orang yang dirasuk itu. Wallahu A-'alam."


Dan telah berkata tokoh perubatan Islam serta ulamak besar Malaysia yang tidak asing lagi bagi kita, Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din di dalam bukunya, Menjawab Persoalan Makhluk Halus, Kaitannya dengan Penyakit dan Pengubatannya :

"Menghindarkan diri daripada suatu yang tidak diingini diistilahkan sebagai Al-Wiqayah, Al-Wiqayah adalah suatu yang dituntut oleh Islam, seperti selalu yang diungkapkan oleh kata-kata hikmah iaitu, Menjaga Diri Sebelum Berlakunya Sesuatu Yang Tidak Diingini Seperti Penyakit Adalah Lebih Baik Daripada Mengubati Penyakit.

Islam menyarankan pelbagai cara kepada manusia untuk menghindarkan diri daripada terkena perbuatan sihir. Dalam Al-Quran terdapat surah tertentu yang dibaca oleh masyarakat kita sebagai pelindung. Surah ini dikenali dengan istilah Al-Mu-'awwizaat atau tiga surah terakhir daripada Al-Quran, iaitu Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas.

Kita dianjurkan mengamalkannya sebagai satu ikhtiar untuk menghindarkan diri daripada terkena sihir. Di samping itu banyak lagi ayat-ayat lain boleh diamalkan seperti Ayatul Kursi.

Kita hendaklah sentiasa mendampingi Allah Subhanahu Wa Taala, menghiasi diri dengan melakukan amal kebajikan serta menghindar diri daripada melakukan maksiat. Ikhtiar sebegini adalah cara terbaik untuk menghindari diri daripada syaitan, sihir dan niat jahat manusia.

Al-Wiqayah merupakan cara paling berkesan untuk mengelakkan diri terkena sihir kerana jika sudah terkena, sukar untuk menghilangkannya. Semakin lama penyakit tersebut dalam diri manusia, semakin sukar dirawat." - Intaha.


Di dalam buku yang sama ketika ditanya, Bagaimanakah Ikhtiar Yang Dibenarkan Syarak Untuk Mengubati Pesakit Yang Terkena Sihir, beliau menjawab :-

"Penyakit yang disebabkan oleh sihir berlaku di alam rohani. Kebanyakan sihir di lakukan secara tersembunyi, khususnya pada waktu malam. Sihir diamalkan secara terselindung, maka sudah tentu tidak mudah untuk mengubatinya.

Antara ikhtiar untuk mengubati sihir adalah seperti berikut :

Menggunakan ayat-ayat Al-Quran untuk menentang sihir seperti yang telah saya(Tuan Guru Haron Din) sebutkan sebelum ini. Terdapat banyak ayat Al-Quran menyentuh tentang sihir yang berlaku di alam kehidupan manusia. Contohnya ialah apabila sihir berlaku secara berleluasa pada zaman Nabi Allah Musa Alaihis Salam, baginda menghadapi sihir dengan kekuatan jiwa dan meminta bantuan Allah Subhanahu Wa Taala sehingga ahli-ahli sihir kecundang, menyerah kalah dan beriman kepada Nabi Musa Alaihis Salam.

Kitab karangan ulamak muktabar menyarankan kita membaca 11 ayat daripada Surah Al-Baqarah iaitu ayat 1-5, 255-257, tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah.

Ada juga ulamak yang menyarankan agar kita membaca Surah Al-Fatihah, ayat 255 Surah Al-Baqarah, ayat 117-119 Surah Al-A'araf, ayat 79-86 Surah Yunus atau 82-83, ayat 65-69 Surah Thaha, ayat 118 Surah Al-A'araf dan ayat 70 Surah Thaha.

Ayat ini di sarankan agar dibaca oleh orang yang terkena sihir ataupun orang yang mengubati penyakit akibat terkena sihir dengan memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wa Taala."-Intaha


Oleh yang demikian fahamlah kita disini bahawa pembacaan Ayat-Ayat Ruqyah ini adalah sebagai usaha dan ikhtiar kita untuk perkara-perkara berikut :

1) Mengelak daripada gangguan makhluk halus (jin, syaitan, iblis)

2) Mengelak daripada niat jahat manusia.

3) mengelak daripada sihir.

4) Sebagai benteng pertahan diri kita.

5) Sebagai penyembuhan daripada penyakit-penyakit yang disebabkan oleh gangguan dan sihir.

6) Sebagai salah satu jalan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

7) Sebagai salah satu cara menghindari maksiat kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

5) Kaifiat membacanya. Sila klik di bawah ini untuk mendapatkan kaifiatnya.


أية رقية شرعية.pdf

Perlu juga saya terangkan di sini bahawa kepada sesiapa yang berhajat untuk mengubati pesakit, perlulah belajar dan mendapat izin, tauliah, ijazah khas daripada guru-guru yang berkaitan. Ayat-Ayat Ruqyah di sini hanya untuk diamalkan oleh diri sendiri sahaja. Sekiranya sakit berlanjutan, anda perlulah berjumpa dengan perawat-perawat Islam yang mahir dengannya.

Keberkesanan amalan ayat-ayat ini bergantung sepenuhnya kepada keikhlasan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Jangan sedikitpun di hati kita ada keraguan kepada pertolongan Allah Taala. Hanya kepada Allah Azza Wa Jalla sahajalah kita bergantung.

وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.

Dan tiada upaya (untuk mengelak daripada maksiat) dan tiada kekuatan (untuk melakukan ibadat) melainkan dengan (pertolongan) Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.


وصلى الله على سيدنا محمد و على آله وصحبه وسلم. والحمد لله رب العالمين.

0 Responses